Wednesday, September 3, 2008

BAHAYA NASIONALISME

NASIONALISME DAN BAHAYANYA
MUQADDIMAH
Semenjak kejatuhan Khilafah Islam pada tahun 1924 umat Islam di seluruh tanah air Muslimin telah melihat berlakunya perubahan mendadak di dalam asas penyatuan Muslimin. Penyatuan Muslimin yang bertolak daripada aqidah yang satu yang melampaui segala batas-batas keturunan, warna kulit dan kedudukan telah ditinggalkan oleh umat Islam untuk digantikan oleh kesatuan yang berasaskan fahaman kebangsaan atau nasionalisme barat. Ia adalah satu penyelewengan bidaah yang wajib ditolak dan dibetulkan kembali oleh setiap Muslimin di zaman ini. Kejahilan para ulama mengenai kesesatan fahaman kebangsaan telah mendorong umat Islam dari segala lapisan untuk menerima dan beramal dengan kesesatan ini tanpa mereka merasa takut kepada kemurkaan Allah s.w.t. dan balasan azabNya yang pedih.

PENGERTIAN NASIONALISME

Di dalam menerangkan pengertian nasionalisme, Encyclopedia Britannicca atau Encyclopedia America menyebut:
Loyalty and devotion to the state such that national interest are placed above individual or global interest. It originates from the assumption that nations are the primary focus of political allegiance. In the religious context, for example: the focus of allegiance would be a supranational group such as Christendom or Christian community. Modern phenomena.

Takrif ini menjelaskan bahawa nasionalisme adalah fenomena yang meletakkan kesetiaan dan ketaatan manusia kepada negara, sekira-kira meletakkan kepentingan negaranya di atas segala kepentingan yang lain samada ianya merupakan kepentingan peribadi ataupun kepentingan negara-negara lain. Fahaman ini adalah bertolak daripada andaian bahawa tumpuan utama bagi ikatan politik adalah terletak kepada bangsa. Fahaman ini adalah diasaskan oleh pemikir-pemikir politik seumpama Machiavelli, Rousseau dan Johan Gottfried. Ia adalah satu fahaman baru yang muncul di zaman moden akibat daripada pergolakan sejarah yang berlaku di Eropah iaitu pergolakan yang lahir daripada perjuangan masyarakat barat untuk membebaskan negara-negara mereka daripada tekanan pentadbiran dan kezaliman kuasa gereja.

Dengan kata lain nasionalisme adalah merupakan ikatan yang berbentuk sekular yang menggantikan semua bentuk ikatan yang lain khususnya ikatan keagamaan di kalangan manusia terutamanya di barat yang berasaskan ajaran gereja Kristian. Ia adalah merupakan satu daripada panduan cara hidup sekular yang dikemukakan di zaman ini sebagai menggantikan panduan daripada sumber agama. Pentakrifan ini menjelaskan bahawa nasionalisme itu pada hakikatnya adalah fahaman penyatuan manusia yang berasaskan mendahulukan kepentingan bangsa dan negara di atas segala kepentingan yang lain.

PERCANGGAHAN NASIONALISME DENGAN AGAMA ISLAM

Daripada kesedaran kita mengenai hakikat sebenar fahaman kebangsaan itu maka nyatalah kepada kita percanggahan yang tidak dapat dielakkan di antara ideologi nasionalisme dengan ajaran-ajaran yang terdapat di dalam syariat Islam. Ia adalah percanggahan-percanggahan yang menuntut setiap Muslimin agar menolak sepenuhnya fahaman tersebut daripada diamalkan di dalam sebuah masyarakat beragama Islam. Ia adalah percanggahan yang lahir akibat daripada tabiat Islam sebagai sebuah ajaran yang berjuang untuk menyatukan manusia di atas asas pengabdian kepada Allah s.w.t. semata-mata dan di atas asas menegakkan keadilan Tuhan di dunia ini. Secara asasnya percanggahan tersebut bolehlah dibariskan kepada empat bahagian seperti berikut:

(1) Ia adalah fahaman yang membina penyatuan manusia di atas asas menerima pensyarikatan yang berlaku di kalangan manusia terhadap ketuhanan Allah s.w.t. di alam ini. Ia dengan itu adalah penyatuan yang tidak menjadikan kepentingannya membimbing manusia kepada mentauhidkan Allah s.w.t. dan kepada membulatkan kehambaan kepada Allah s.w.t. semata-mata. Penyatuan yang meredhakan kekufuran seperti ini adalah bentuk penyatuan yang membawa penyesalan para pengamalnya di akhirat kelak. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Ankabut ayat 25 yang berbunyi:

Dan berkata Ibrahim: Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah s.w.t. adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini kemudian di hari kiamat sebahagian kamu mengingkari sebahagian (yang lain) dan sebahagian kamu melaknati sebahagian (yang lain), dan tempat kembalimu ialah neraka, dan sekali-kali tiada bagi kamu para penolong pun.

(2) Ia adalah fahaman yang membina kepentingan manusia di atas asas kepentingan di dunia semata-mata dengan melupakan kepentingan kesejahteraan manusia di akhirat. Kepentingan akhirat itu hanya dapat dicapai melalui ketaatan yang penuh kepada segala perintah Allah s.w.t. yang telah disampaikan oleh RasulNya. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Israa' ayat 18 dan 19 yang berbunyi:

Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka jahanam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir. Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan bersungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik.

(3) Ia adalah fahaman penyatuan yang bercanggah dengan syariat Islam yang berhubung dengan hukum al-wala'. Yang dikehendaki dengan hukum al-wala' ialah ajaran Islam yang melarang Muslimin daripada memberikan hak persahabatan, perlindungan, kepimpinan, kasih sayang dan pertolongan kepada golongan kuffar dan musyrikin dalam perkara yang menyalahi ketaatan kepada Allah s.w.t. atau di dalam perkara yang menyalahi hak persaudaraan sesama Muslimin.

Dari sini dapatlah difahami bahawa hukum wala' di dalam masalah kepimpinan bukanlah semata-mata persoalan setakat memastikan kekuasaan mutlak tidak berada di tangan golongan kuffar seperti yang difahami secara menyeleweng oleh penulis buku "Permasalahan Agama dan Politik" tetapi ia sebenarnya adalah persoalan memastikan bahawa orang-orang kafir tidak mendapat kuasa yang boleh menghalang orang-orang Islam daripada melaksanakan ketaatannya kepada Allah s.w.t. secara sempurna.

Di dalam negara yang mengamalkan nasionalisme sekular pada hari ini kuasa yang diberikan oleh perlembagaan negara kepada Muslimin adalah kuasa yang tidak melibatkan kebebasan mereka melaksanakan hukum Allah s.w.t. atau dengan kata lain ia adalah kuasa yang tidak menafikan kemestian orang-orang Islam mentaati orang-orang kafir di dalam hukum dan peraturan ciptaan mereka. Oleh itu persoalan para khalifah Islam yang terdahulu melantik dan memberi ruang kepada orang-orang kafir menjawat beberapa jawatan negara tidaklah boleh disamakan dengan corak pentadbiran negara sekular pada hari ini. Pemberian jawatan kepada golongan kafir zimmi pada zaman itu adalah berlaku di dalam suasana terlaksanya hukum Allah s.w.t. secara sempurna dan megah dan tidak pula membawa kerugian kepada umat Islam.

Seterusnya perlulah diingatkan mengenai kesesatan penulis tersebut yang cuba meletakkan persoalan melantik orang-orang kafir di tanah air pada hari ini sebagai termasuk di dalam rukhsah yang dibenarkan oleh syariat Islam. Perlulah difahami bahawa rukhsah di dalam Islam adalah digantungkan di dalam perkara ketaatan kepada Allah s.w.t. semata-mata. Ia sama sekali tidak dibenarkan dalam perkara maksiat dan mungkar seperti rukhsah yang difahami oleh penulis buku tersebut kerana rukhsah seperti itu adalah rukhsah yang membuka jalan untuk melakukan perkara yang amat mungkar iaitu menolak hukum Allah s.w.t. yang wajib dilaksanakan di dalam negara yang merupakan syarat kerjasama di antara orang-orang kafir dengan orang-orang Islam yang diletakkan oleh penjajah. Menolak hukum Allah s.w.t. dan menggantikannya dengan hukum ciptaan manusia adalah perbuatan syirik yang mengeluarkan seseorang daripada Islam, firman Allah s.w.t. di dalam Surah As-Syura ayat 21 yang berbunyi:
Apakah mereke mempunyai sembahan-sembahan selain Allah s.w.t. yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah s.w.t. .

Seterusnya perlulah ditegaskan pula mengenai kesesatan penulis buku tersebut apabila beliau meletakkan perkara memberi sebahagian kepimpinan umat Islam kepada orang kafir sebagai termasuk di dalam taqiyyah yang dibenarkan oleh Islam. Perlulah difahami bahawa hukum taqiyyah hanyalah dimaksudkan oleh syarak sebagai rukhsah kepada orang perseorangan sahaja dan di dalam keadaan yang berkait dengan paksaan sahaja. Ia tidak dibenarkan untuk menjadi suatu kaedah umum yang boleh dipakai oleh umat Islam di dalam menghadapi golongan kuffar kerana hal tersebut akan menghilangkan kewajipan hukum jihad.

Adapun tindakan seperti yang dilakukan oleh kerajaan Terengganu yang membayar ufti kepada kerajaan Siam itu dari sudut hukum syaraknya bukanlah termasuk di dalam perkara taqiyyah tetapi ia adalah termasuk di dalam persoalan siasah syari'yyah. Perlulah difahami dengan baik dan perlu dibezakan kedua perkara ini dengan jelas supaya tidak diperbodohkan oleh penulis buku tersebut dan seumpamanya daripada penyokong-penyokong fahaman sekular di tanah air.
Sesungguhnya umat Islam perlulah memahami bahawa di dalam keadaan negara pada hari ini Islam menjadikan jihad menurut peringkatnya sebagai kewajipan dan jalan menegakkan semula kedaulatan Islam itu.

No comments:

CALENDER