Saturday, December 13, 2008

Sunnah: Antara Pelampau Ketat (ghulat) Dan Pelampau longgar (muqsirin)


Apakah semua sunnah menjadi tasyri’?? Inilah yang mengelirukan banyak pihak sehingga ada yang menganggap tidak melakukan sunnah bererti melakukan bidaah. Puak ini ingin menjadikan semua sunnah sebagai amalan wajib kepada semua orang tanpa mengira zaman dan tempat.Tidak dapat dibezakan antara sunnah umum dan sunnah khusus. Justeru itu apabila nabi menggunakan mimbar tiga anak tangga, maka mereka mahu diwajibkan sekarang mimbar tiga anak tangga. Sedangkan mimbar nabi adalah kesinambungan dari mimbar batang tamar sebelumnya. Apakah kerana nabi membawa tongkat, maka wajib atau sunat pula bagi orang lain membawa tongkat, meskipun ia tidak diperlukan. Malah kalangan ahli agama sendiri secara sinis menegur kalau ada khatib yang tidak memegang tongkat pada masa membaca khutbah, kononnya tidak mengikut sunnah.

Di satu pihak lain pula ada golongan yang ingin menyingkirkan sunnah dan persoalan kehidupan atas alasan ianya perkara muamalat, urusan ekonomi, politik, pentadbiran, perang dan sebagainya seolah-olah sunnah tidak campur tangan berhujahkan hadis: "Anda lebih tahu dengan urusan dunia anda”.


Apa yang harus difahami perselisihan antara golongan yang keterlaluan ingin menjadikan segala-galanya sunnah yang diwajibkan sehingga menolak cara makan moden atas meja dengan sudu dan garpu. Kalau makan semestinva duduk atas tanah dan dengan tangan. Sedang pihak lain tidak kesah sama ada makan dengan tangan atau sudu, malah tidak kesah tangan kanan atau kiri.

Persoalan yang perlu jelas ialah manakah sunnah yang ditasyri' dan mana pula yang tidak ditasyri’. Dalam hubungan ini penjelasan Ibn Qutaybah amat releven dengan membahagikan sunnah itu kepada tiga:

a) Sunnah yang didatangkan oleh Jibril yang asasnya wahyu, maka sunnah itu wajib dipatuhi seperti tidak boleh dinikahi ibu saudara seibu sebapa berdasarkan hadis muttafak 'Alaih, haram mengahwini adik beradik susuan dan seumpamanya

b) Sunnah yang diharus mengikutnya dan menggunakan akal seperti haram memakai sutera.Tetapi ia dibolehkan pengecualian bagi mereka yang ada alasan, seperti Abdul Rahman Ibn ‘Auf diberi keizinan atas alasan tertentu. Sama juga larangan wanita menziarahi kubur pada awalnya, kemudian diizinkan semula.

c) Sunnah sekadar adab yang mulia, jika diamalkan ada kelebihannya dan jika ditinggalkan tidak membawa kemudaratan apa-apa.


Berhubung dengan itu, al-Qarafi mengatakan sunnah nabi itu ada berbagai, samada atas sifatnya sebagai pemimpin, mufti, kadi atau tabligh dari AlIah.Tetapi kebanyakan sunnah atas sifatnya menyampaikan apa yang datang dari Allah. Maka apa yang disampaikan sebagal tabligh hukumnya kepada semua manusia hingga ke akhir zaman. Apa yang diwajibkan menjadi wajib, apa yang diharuskan menjadi harus dan apa yang dilarang menjadi larangan.

Namun sebagai pemimpin, sunnahnya haruslah dilakukan dengan izin pemimpin. Sunnahnva sebagai hakim hanya boleh dilakukan dengan izin hakim.

Sebagai contohnya, mengutus tentera ke medan perang, membelanjakan harta baitul mal, melantik hakim, membahagikan harta rampasan perang adalah sunnah sebagai pemimpin. Sementara menyelesaikan perselisihan dalam harta benda, jenayah atas fizikal, memohon keterangan dan kesaksian adalah menjadi sunnah bagi hakim mengikutinva.

Kenyataan ini hampir sama dengan apa yang diterangkan oleh al-Dihlawi yang mengatakan sunnah yang wajib ialah disampaikan sebagai risallah dari Allah seperti hal mengenai akhirat yang berasaskan wahyu. Dalam hal ini tidak ada apa-apa ijtihad lagi. Sama juga yang berkaitan dengan ibadat, nilai-nilai akhlak Ada pun soal fadhilat amal, sebahagian berasaskan wahyu dan sebahagiannya adalah ijtihad nabi.

Antara perkara yang bukan dari wahyu malah ia semata-mata pengalaman nabi seperti dalam hal perubatan, adat yang tidak berupa ibadat seperti bertongkat, atau juga sesuatu yang mempunyai maslahat semasa dan tidak untuk seluruh umat seperti mengutus tentera berperang waktu itu.

Rasyid Ridha mempunyai sikap yang hampir sama, di mana katanya, sunnah yang ditasyri' merujuk kepada ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah sama ada wajib atau sunat, atau kemudharatan yang dilarang. Jadi termasuk perkara yang mesti diikuti seperti tidak boleh memohon selain dari Allah, memakan sembelihan bukan kerana Allah. Tetapi jika ianya perkara adat yang tidak berkait dengan maslahat atau mafsadah seperti hal berkaitan pengalaman profesional ia merupakan irsyad bukan tasyri’, kecuali ada larangan keras seperti memakai sutera.

Hanya yang harus difahami melakukan sunnah dalam perkara adat adalah baik, meskipun tidak wajib atau sunnat sebagai menandakan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. dengan syarat tidak menganggapnya sebagai kewajipan agama, justeru dalam agama tidak boleh ditambah-tambah seperti juga tidak bolah dikurang-kurangkan

No comments:

CALENDER