Wednesday, July 21, 2010

PANDANGAN AL FADHIL USTAZ TUAN IBRAHIM TUAN MAN


Isu perpaduan Melayu kembali bergema. Kali ini ianya melibatkan usaha golongan agama (mufti) dan kepimpinan UMNO. Pelbagai komentar dan pandangan dari pelbagai pihak diambil bagi menyokong usaha perpaduan melayu ini sekaligus seolah-olah sesiapa yang tidak inginkan perpaduan Melayu adalah golongan yang bertindak bertentangan dengan kehendak Islam. Pelbagai ayat Quran dan hadis bergema bagi menyokong usaha ini. Sebagaimana biasa PAS menjadi sasaran bilamana dengan tegas menolak hasrat perpaduan dengan UMNO!

Isu besar ialah apakah untuk perpaduan bangsa atau perpaduan Islam? Kalau perpaduan bangsa kenapa hanya Melayu perlu berpadu, bagaimana bangsa lain dalam negara? Apakah kerajaan suka kalau bangsa lain berpecah yang juga akhirnya melemahkan negara?

PAS menyatakan dengan tegas kita perlu bersatu di atas landasan yang digariskan oleh Allah; “Bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”. Lantaran itu PAS lebih rela Melayu berpecah dalam mentaati perintah Allah daripada berpadu dalam mendurhakai Allah!

PAS tidak akan merelai perpaduan bagi mendokong tindakan yang bertentangan dengan Islam yang ditaja oleh UMNO. Mereka sanggup menghalalkan perjudian di atas nama kebajikan dan sukan walhal dengan jelas Islam menyatakan judi itu haram!

Di saat rakyat menderita dengan tekanan hidup akibat kenaikan kos hidup, rakyat melihat UMNO gagal menjaga bangsa dan agama. Maka janganlah kegagalan ini PAS pula yang dipersalahkan. Lebih 50 tahun UMNO diberi kepercayaan oleh orang Melayu Islam. UMNO membelakangkan soal perpaduan, Kelantan terus ditindas bahkan negeri Pakatan Rakyat terus diserang saban waktu. Tangan kiri menghulur perdamaian, tangan kanan terus menekan dan menindas bangsa sendiri!

Kami tidak mahu memikul pengkhianatan UMNO kepada agama. 50 tahun negara ini tidak pernah merasai berjalannya hukum Allah secara menyeluruh, riba, rasuah, pusat maksiat berleluasa sehingga remaja seolah-olah tiada hala tuju. Rakyat miskin terus dibeban dengan kenaikan kos hidup; di waktu yang sama syarikat swasta kroni pemerintah terus menikmati subsidi luas biasa seperti IPP (Independent Power Producers), syarikat konsesi tol tidak dipotong subsidi mereka bahkan pembaziran terus berleluasa. Di saat negara berada dalam situasi paling buruk dalam sejarah dengan pelbagai isu besar seperti penyerahan Blok L dan M kepada Brunei, tanah KTM di Singapura, isu kemerosotan dana Felda yang mengejutkan, serta pelbagai gejala sosial yang berlaku menuntut rakyat membuat perubahan besar, bukan meminta PAS memikul sama kemungkaran ini.

Tuesday, July 20, 2010

KITA PENDAKWAH BUKAN PEMBANGKANG SEMATA-MATA


1. Sehari dua ini isu Perpaduan Melayu seperti "ibu pelaris" bagi media di pasaran . Pelbagai pandangan dan idea dapat dilihat ketika mengulas isu ini . Samaada melewati media arus perdana , media milik parti masing - masing ataupun di media baru [alternatif] .

2. Ada yang setuju 100% tanpa syarat , ada yang tidak setuju 100% tanpa ruang , ada yang setuju tetapi bersyarat .

3. Saya sendiri mempunyai pandangan peribadi dalam perkara ini dan saya jangka pandangan saya bertepatan dengan semangat perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS . Terdahulu telah saya nukilkan sebahagian pandangan saya melalui posting saya sebelum ini . [klik]

[ Tetapi secara officialnya pandangan saya tidak mewakili parti secara rasmi ] . Justeru itu saya bersedia untuk berdepan dengan pandangan yang berbeza , penuh hormat dan sangka baik .

4. Asasnya saya dirikan pandangan itu bukanlah lahir dari congakkan idea tanpa saya meneliti dan memerhati suara orang ramai terutama mereka [ orang awam ] yang saya temui setiap kali selesai menyampaikan kuliah di masjid dan surau saban hari . Akhirnya rumusan yang saya buat ialah :

* Ummat Islam mesti bersatu . Rata - rata ummat Islam ialah melayu . Secara mantiqinya ialah melayu mesti bersatu . Namun bersatu atas flatform atau premis Islam . Islam menjadi syarat . Justeru itu saya sangat tidak bersetuju dengan anjuran perpaduan tanpa syarat . Perpaduan itu hanya berjaya dan diredhai oleh Allah swt apabila diikat dengan syarat Islam.

* Semua pihak mesti kembali kepada Islam . Ayat al Quran yang menganjurkan perpaduan ummah ini telah wujud sejak awal sebelum lahirnya parti - parti politik dalam negara kita . Aus dan Khazraj satu bangsa yang bertelagah di bumi Madinah sejak puluhan malah ratusan tahun . Namun ia disatukan oleh Rasulullah saw dengan kalimah Toiyyibah Laa Ilaahaillallah .

* Bangsa , material dan kuasa tidak boleh dijadikan premis kukuh untuk perpaduan ummah . Sayang bangsa namun binalah bangsa itu atas agama dan syariat Islam . Sayang material tetapi kawallah material itu dengan kawalan agama dan syariat Islam . Sayang kuasa tetapi bentuklah kuasa itu dengan acuan agama dan syariat Islam .

* Seperkara lagi ialah , kalau kita bercakap soal perpaduan , kita tidak boleh hanya bercadang untuk bersatu sesama kita bangsa melayu atau ummat Islam sahaja , sementelah lah perpaduan sesama ummat Islam itu hukumnya wajib, tetapi juga mesti ada plan dan perancangan berperingkat untuk bersatu bagi semua bangsa dan kaum , juga berteraskan ajaran Islam [ dalam erti kata lain , melibatkan semua parti bukan antara PAS dan UMNO sahaja dan PAS sekali - kali tidak akan keluar dari PAKATAN Rakyat] . Samaada mereka menganut ajaran Islam [menjadi saudara baru] atau mereka kekal dengan agama mereka tetapi menerima dasar kebaikan dan keadilan yang dibawa oleh Islam .

5. UMNO hulur dan tawarkan perpaduan kepada kita . Saya sarankan agar kita [ PAS ] tidak perlu menolak tawaran itu . Terimalah tawaran untuk perpaduan ummah kerana kita tidak mahu perpecahan , tetapi kita WAJIB letak syarat iaitu Islam . Kerana tanpa Islam , tawaran perpaduan itu sia - sia lantaran ia tidak mungkin dapat dibina dengan baik dan kukuh . Masih segar dalam ingatan saya malah selalu terngiang - ngiang di telinga saya , apabila al Mursyidul Aam PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan segala kerendahan dirinya berkata : "Kalau UMNO terima Islam, PAS ni tak ada pun tak apa !"

6. Dalam kenyataan lain pula , Tuan Guru Nik Abdul Aziz selalu mengulang pendiriannya : "Kalau UMNO terima Islam sebagai dasar perjuangan parti mereka, kita bubar PAS" cuma mungkin saya berbeza sikit dengan Tuan Guru dalam menyusun ayat tersebut . kalau boleh saya sebut: "Kalau UMNO terima Islam sebagai dasar perjuangan parti mereka , maka bubarlah UMNO , Jom sertai PAS" sebab , masa tu perjuangan UMNO dan PAS telah serupa dan sama . Kalau bubar PAS yang telah sekian lama dibina dengan sistem Islam dan tarbiyyahnya , ikhlasnya saya sebut ia akan merugikan masa kita , kerana membina UMNO baru yang belum memiliki sistem tarbiyyah islamiyyah , akan memakan masa yang lama untuk menjadikan ia mantap .

7. Saya sebut kepada umum dan juga wartawan yang bertanya , jika UMNO ikhlas dan serius mahukan perpaduan sebagaimana tawaran yang berikan , maka sewajarnya UMNO menerima syarat yang diberikan iaitu Islam . Apakah UMNO sukar untuk menerima Islam ? Apakah payah UMNO mahu menerima syarat Islam ? Bukankah pemimpin dan rata - rata ahli UMNO adalah beragama Islam ? Kita bukan letak syarat supaya UMNO bubarkan partinya , cuma kita minta supaya UMNO menerima Islam sebagai dasar perjuangan . Sukarkah begitu ? Kalau sukar , maka sukarlah kita ummat Islam mahu bersatu.

8. Saat itu , jangan lagi dituding PAS tidak mahu perpaduan ! PAS punca perpecahan ! dan sebagainya . Kerana kita mahukan perpaduan . Kita mahu supaya ummat melayu bersatu padu atas dasar Islam dan perjuangannya. Kerana nas al Quran pun kata begitu , bidalan orang - orang tua pun kata begitu . [ Bersatu teguh bercerai roboh ] . Masa tu , jangan sesiapa mengatakan PAS tidak mahu bersatu padu . Bahkan yang tidak mahukan perpaduan ialah UMNO semata - mata kerana tidak mahu menerima syarat mudah yang kita letakkan iaitu Islam .

9. Saya mendoakan agar UMNO menerima Islam . Apabila UMNO menerima Islam maka itu tali Allah yang akan mengikat kita menjadi satu dan kuat . Saya tidak suka UMNO bukan semata - mata kerana namanya UMNO , tetapi kerana dasarnya yang tidak Islam malah banyak perkara bertentangan dengan Islam . Selama UMNO tidak menerima Islam , maka selama itu saya tidak boleh suka dan tidak boleh sokong UMNO . Bukan saya tidak mahu sokong UMNO tetapi saya TIDAK BOLEH sokong UMNO kerana ia tidak menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya .

10. Jika UMNO insaf dan kembali kepada dasar dan prinsip Islam lalu menjadikan Islam sebagai asas perjuangannya . Melaksanakan al Amru bil Makruf dan an Nahyu anil mungkar yang menjadi sebahagian teras syariat Islam dan berjuang untuk mendaulatkan syariat Islam di dalam negara ini , maka pada waktu itu saya berjanji , saya akan sokong perjuangan UMNO .

Akhirnya . UMNO hanya berdepan dengan syarat mudah untuk menjayakan tawaran perpaduannya itu . Syarat yang saya maksudkan ialah ISLAM . Bagi pihak PAS pula , saya sarankan agar tidak perlu defensif dengan isu perpaduan melayu yang rata - ratanya adalah ummat Islam . Bukan sahaja Dato' Harussani bahkan siapa jua boleh mengusahakan usaha murni mewujudkan perpaduan ummat Islam dalam negara kita selama mana syarat Islam itu menjadi prinsip . Kerana segala usaha hanya menjadi murni dan mulia jika kerana Islam . Kalau tidak menerima Islam ini sebagai syarat , segala cita - cita untuk bersatu itu berkecai . Orang putih kata : No Islam No talk !


Posted by Nasrudin Hassan at Tantawi

Thursday, July 15, 2010

Walau Siapa Dirimu, Jangan Dilupakan Tugas Ini



Di celah-celah kesibukan manusia mencari pulangan harta dan gaji untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami, bapa, anak dan sebagainya. Ingatan berterusan diperlukan agar kita semua tidak mengabaikan usaha untuk mencari bekalan untuk kehidupan hakiki.

Jika kita ingin dianggap ‘manusia' dan bukan seperti ‘binatang ternak' di sisi Allah. Ingin mendapat kedudukan istimewa umat Muhammad saw di akhirat kelak, peruntukanlah masa secukupnya untuk melakar peta perjuangan yang patut ditempohi. Jangan sesekali kita lupa pula untuk melakarkan tahap-tahap bagi mencapainya, juga dugaan dan cabaran yang bakal mendatang.

Dari senarai panjang tugas dan objektif kehidupan kita di atas muka bumi ini, Ibn Mas'ud r.a mengingatkan sesiapa yang melupakannya dia bagai ‘bangkai hidup'. Ia tidak lain dan tidak bukan,

"Al-Amr bil Maʿruf wa al-nahyu ʿAn al-Mungkar"

Iaitu : menyeru dan mengajak manusia lain kepada kebaikan dan melarang mereka dari melakukan kemungkaran.

DIRI TIDAK SEMPURNA

Walau diri masih tidak sempurna dan tidak akan sempurna kerana dosa yang pasti kita lakukan, tugas itu tidak sama sekali terangkat dari senarai kewajiban kita. Malah di waktu kita melakukan kesalahan yang sama.

Memang benar amat besar kemurkaan Allah taʿala terhadap sesiapa yang menyeru kebaikan yang dia sendiri tidak lakukannya. Pun begitu, kemurkaan Allah lebih besar kepada mereka yang melakukan kebaikan dan terus melupakan seruan kepadanya. Ia adalah dosa berganda.

Justeru itu, Allah tala sendiri mengutuk sikap Yahudi yang mana mereka TIDAK SALING MENCEGAH KEMUNGKARAN yang dilakukan oleh sesama mereka. Lihatlah firman Allah berkenaan celaan ini pada surah Al-Maidah :

كَانُوا لاَ يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

Ertnya : kerana mereka (Yahudi) itu mereka tidak saling mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh mereka, amat buruklah apa yang mereka kerjakan. ( Al-Maidah : 79)



Dari Ibn Mas'ud r.a :

لما وقعت بنو إسرائيل في المعاصي نهتهم علماؤهم فلم ينتهوا فجالسوهم في مجالسهم وواكلوهم وشاربوهم فضرب الله قلوب بعضهم ببعض ولعنهم على لسان داود وعيسى ابن مريم

Ertinya : Apabila sahaja Bani Israel melakukan maksiat, para ilmuan mereka menegahnya, namun apabila tegahan tidak diendahkan, para ilmuan itu duduk bersama mereka di dalam majlis mereka, makan dan minum bersama mereka ( seolah-olah redha), maka kerana itu, Allah membiarkan hati-hati sama di antara satu sama lain ( kotor dan keji), dan dilaknat mereka itu dari lisan Nabi daud dan ‘Isa. ( Riwayat Ahmad)

Nabi menyebut :

والذي نفسي بيده لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر أو ليوشكن الله عز وجل أن يبعث عليكم عذابا من عنده ثم تدعونه فلا يستجاب لكم

Ertinya : Demi Allah yang nyawaku ditangannya, mestilah bagimu menyeru kepda kebaikan dan melarang manusia lain dari kemungkaran, atau sangat hampirlah Allah ʿazza wa jalla menimpakan ke atasmu suatu azab dari sisiNya, sehingga apabila kamu berdoa, tidak lagi diperkenankan (Riwayat At-Tirmizi, Hadis Hasan)

Sekarang tugas kita, menggali ilmu sedalam mungkin sebagai benih untuk membolehkan kita membezakan mana yang mungkar dan mana yang maʿruf. Hanya melalui jalan itu, kita mampu melaksanakan tugas tersebut.


SERIBU ALASAN & ILMU BELUM MENCUKUPI

Jangan sesekali ditipu oleh Syaitan yang sentiasa mengutuk kita sebagai ‘tidak baik', ‘tidak soleh' dan ‘belum cukup ilmu' dan seribu satu macam alasan lagi. Pastikan semua bisikan itu diharungi dengan keazaman dan usaha yang tinggi untuk memadamkannya.

Hakikatnya semua kita belum cukup ilmu, namun Allah mewajibkan kita berusaha untuk menyampaikan apa yang kita faham dariNya dan sunnah rasulNya kepada manusia lain.

Berusahalah mencari kefahaman ilmu dan menyampaikannya seperti kita mencari sesuap makanan untuk diri dan keluarga.

Nabi juga bersabda :

الأنبياء لم يورثوا دينارا ولا درهما، ولكن ورثوا العلم، فمن أخذه أخذ بحظ وافر

Ertinya : Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham ( wang dan harta), tetapi mewariskan ilmu, seseiapa yang mengambilnya maka dia telah mendapat kebaikan yang melimpah (Riwayat Abu Daud)



JIKA AJAKAN DAN TEGAHAN TIDAK DIIKUTI?

Sesudah ajakan dan larangan dalam bentuk yang sebaik mungkin, namun masih tidak didengari, tatkala itu sedarlah tugas kita hanya menyampai.

Allah menyebut:

إِنْ عَلَيْكَ إِلَّا الْبَلاغُ

Ertinya : Sesungguhnya tiada kewajiban atasmu kecuali menyampaikan (sebaiknya) ( Al-Syura : 48)

Dan juga ingatan Allah taʿala :

وَمَا أَكْثَرُ النَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ

Ertinya : Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman, walaupun kamu sangat menginginkannya ( Yusuf : 103)



Akhir sekali, marilah kita sama-sama merenung teguran Allah ini

أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ

Ertinya : Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit (Surah al-Taubah : 38)

PENUTUP

Tugasan ini boleh dijalankan melalui pelbagai bentuk dan keadah mengikut kesusaian seseorang dan kemampuannya serta kepakarannya. Sama ada melalui parti politik, NGO yang terdiri dari perkumpulan, jamaʿah dan persatuan atau juga secara individu.

Ia boleh dilaksanakan di tempat kerja, sekolah, universiti, surau, kampung, felda, di persekitaran rumah, di ruangan internet, buku, majalah, buletin, di waktu kursus dan seminar dan banyak lagi. Jangan disempitkankan medium dan ruangnya.

CALENDER