Thursday, December 9, 2010

Hukum Bayar Fidyah Sembahyang Si mati



Baru-baru ini saya ditanya di dalam majlis siri kuliah saya berkenaan masalah ini:

Hukum mengenai qadha sembahyang dan bayar fidyah puasa bagi si mati

Tiada diqadhakan dan juga tidak dikeluarkan fidyah bagi sembahyang si mati.
Manakala hukum fidyah puasa, sekiranya orang yang mati sedang menanggung puasa fardhu dan berkesempatan untuk menqadhakanya tetapi ia tidak berbuat demikian maka dikenakan fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalnya. Jika puasa itu tidak diqadhakan lewat bertahun maka fidyah akan berganda mengikut bilangan tahun.

Keterangan:

Terdapat 3 pendapat mengenai hukum fidyah sembahyang di dalm mazhab Shafie, antaranya:

i) Tidak diqadhakan dan juga tidak dikeluarkan fidyah bagi sembahyang si mati.

ii) Diqadhakan sembahyang si mati oleh waris atau kerabatnya, boleh di keluarkan harta peninggalan si mati bagi tujuan tersebut tetapi tiada di buat fidyah.

iii) Boleh dibuat fidyah ke atas setiap waktu yang ditinggalkan oleh simati dengan kadar 15 tahil beras setiap sembahyang.

Yang muktamad adalah pendapat pertama.

Hujahnya ialah :

a) Tiada qadha' dan tiada fidyah bagi sembahyang yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik bin Anas dalam kitab al-Muwatta' daripada Ibn Umar ra :

لاَ يَصُوْمُ أَحَدٌ عَنْ أَحَدٍ وَلاَ يُصَلِّىْ أَحَدٌ عَنْ أَحَدٍ .

b) Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

'Tinggal sembahyang dengan sengaja itu tidak ada jalan untuk menebusnya melainkan bertaubat Nasuha.

Adapun fidyah puasa adalah seperti yang tersebut di dalam ayat 184 surah al-Baqarah yang bermaksud: 'Barangsiapa keberatan ke atas dirinya berpuasa maka hendaklah ia memberi fidyah dengan cara memberi makan seorang miskin (bagi tiap-tiap sehari yang ditinggalkannya)'.

Begitu jugalah halnya tidak harus mengambil upah membaca dan mengkhatamkan al-Qur"an bagi orang yang telah meninggal dunia Inilah pendapat yang kuat, berdasarkan hadith:

اِقْرَأُوا الْقُرْآنَ وَلاَ تَغْلُوْا فِيْهِ ، وَلاَ تَجِفُّوْا عَنْهُ ، وَلاَ تَأْكُلُوْا بِهِ ، وَلاَ تَسْتَكْثِرُوْا .

Antara Negeri-negeri yang mengatakan tiada fidyah untuk sembahyang yang ditinggalkan oleh simati ialah :

1- Melaka
2- P.Pinang
3- Perlis

Lihat di sumber ini :

1- http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/program-pembayaran-fidyah-sembahyang-dan-khatam-al-qur

2- http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/fidyah-sembahyang-dan-puasa-2

3- http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/hukum-fidyah-sembahayang-dan-puasa-0

CALENDER