Monday, April 27, 2009

Mengenal Virus Merbahaya dalam Jamaah Gerakan Islam



Dalam buku “Ihdzaruu Al-Aids Al-Harakiy (1989)”, Al-Ustaz Fathi Yakan secara khusus mengingatkan kes kehancuran harakah dan tanzim dakwah di Lubnan. Hal yang sama juga berlaku di beberapa Negara Muslim yang terdapat harakah Islamiah di situ. Beliau berpendapat, kes-kes kehancuran tanzim dakwah bermula dari kelemahan daya tahan dalaman jama`ah, yang seringkali terjadi di saat mereka berada di atas paksi Mihwar Siyasi (Orbit Politik).

Hal ini sering terjadi ketika harakah Islamiah memasuki wilayah amal siyasi (kerja politik) untuk menyempurnakan wilayah `amal dakwah dan meningkatkan sasaran dakwah yang lainnya.

Mengapa terjadi seperti ini? Apakah penglibatan harakah Islamiah dalam wilayah politik adalah suatu kekeliruan dan kesilapan? Tentu saja tidak !! Bahkan ini adalah suatu kewajipan kita semua.

Konsep Syumuliatul Islam yang diperkenalkan Imam As-Syahid Hasan al-Banna di dalam usul pertama dari Usul `Isyrin, telah memberikan gambaran pentingnya kita bergerak di paksi politik demi tertegaknya Ad-Din wa Ad-Daulah. Sesungguhnya saat ini, Syumuliayatud Dakwah menuntut kita memasuki dan menguasai wilayah politik.

Ustaz Fathi Yakan menjelaskan persoalan yang timbul iaitu bagaimana satu virus yang berbahaya yang boleh berjangkit dan menjadi penyebab kehancuran kepada harakah. Dalam analisa dan tajribah Ustaz Fathi Yakan, terdapat 7 faktor utama yang menyebabkan hal ini terjadi :


1. Hilangnya Manna`ah I`tiqodiyah (imuniti keyakinan) dan tidak terbinanya bangunan dakwah di atas dasar fikrah dan mabda’ yang benar dan jitu. Akibat yang timbul dari faktor ini, tanzim dakwah tidak tertegak di atas fikrah yang benar dan utuh.

Adakalanya sebuah tanzim hanya wujud sebagai Tanzim Ziyami, iaitu tanzim yang berdiri atas landasan wala’ kepada seorang pemimpin yang diagungkan. Ada juga yang bergerak sebagai Tanzim Syakhshi, iaitu tanzim yang tertegak atas bayangan keperibadian (figure) seorang pemimpin. Terdapat juga yang berbentuk Tanzim Mashlahi Naf`i yang berorientasi mewujudkan tujuan perlaksanaan pengisian semata-mata.

Kerana itu, binaan tanzim menjadi begitu rapuh, tidak mampu menghadapi kesulitan dan cabaran. Akhirnya bergoncanglah binaan dan bercerai-berai shofnya sehingga terjadilah berbagai peristiwa dan tragedi.

2. Perkaderan dan pembinaan anggota berdasarkan kuantiti, dengan mengutamakan bilangan dan jumlah keahlian menjadi keutamaan qiyadah. Seringkali dianggap, bahawa jumlah yang banyak itu akan menjadi penentu kemenangan dan kejayaan. Kondisi ini mungkin ada kebenarannya ketika sebuah harakah dakwah tampil secara rasmi sebagai parti politik dan terlibat dalam pilihanraya.Akhirnya mereka mengabaikan kualiti kader yang menjadi asas penggerak yang sebenarnya menjadi penentu kemenangan.

Akan tetapi hal ini perlu diawasi kerana, orientasi ini akan memudahkan pihak-pihak tertentu cuba mewujudkan qaidah sya’biyah atau dasar dokongan sosial untuk kepentingan mealisasikan tujuan-tujuannya.

Dalam situasi tertentu akan muncul keperibadian atau tokoh-tokoh tertentu dalam harakah yang memperjuangkan kepentingan peribadi dengan memanfaatkan qaidah sya’biyah yang dibinanya. Pada saat ini, qa`idah sya’biyah ini akan bertindak sebagai musuh dalaman kepada harakah Islamiah.

3. Isti’jal (tergesa-gesa) untuk meraih kemengan, meskipun tidak seimbang dengan persediaan yang mencukupi, walaupun ditahap minimum. Kemenangan politik bererti memperolehi kekuasaan. Setiap aktivis politik akan dikuasai semangat mencari dan mengejar kekuasaan sehingga tidak ada penghujungnya.

Menurut Ustaz Fathi Yakan, kekuasaan yang diperolehi di manapun akan menuntut pembahagian ghanimah (harta rampasan perang) kepada penjaga sesuai dengan perbandingan tugasan yang ditanggung seseorang. Ghanimah yang telah diperoleh itu kadangkala melahirkan cubaan, fitnah dan bencana kerosakan dalam harakah.

Permasalahan dasarnya adalah penipuan dalam pembahagian, antara perseorangan, pemimpin serta penguasa yang bercita-cita mendapatkan bahagian kekuasaan yang banyak. Akhirnya prinsip perjuangan tergadai dan agenda maddiyah dengan mengejar kepentingan hawa nafsu akan menjadi tuntutan perjuangan mereka.

Ketika ini hilanglah roh aqidah dalam perjuangan, tumpuan hanya diberikan kepada percaturan strategi menghadapi musuh dalam pilihanraya dengan meninggalkan agenda pembinaan ruhiyah di kalangan jundiyah dan qiyadah. Akhirnya “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran ”.

4. Binaan tanzim dipengaruhi unsur luaran. Samada dipengaruhi oleh latarbelakang kekuatan yang berada di sekelilingnya dari aspek politik, ekonomi dan lain-lain aspek. Akibatnya, tanzim akan kehilangan potensi keaslian perjuangan, kehilangan orientasi dan arah tujuan politik. Kerana hilangnya asholah dakwah (keaslian), tanzim menjadi alat kepentingan pihak lain, dan segala keputusan dan tindakan dipengaruhi kelompok tertentu.

5. Munculnya berbagai aliran dan kelompok dalam harakah. Hal ini sering terjadi kepada harakah yang telah mengalami perpecahan lantaran hilangnya wahdatul fikr dan wahdatul `amal. Kesan dari permasalahan ini akan timbulnya ta`addudul wala’, justeru akan timbul pertikaian, perebutan pengaruh dan kekuasaan untuk meraih hasrat dan cita-cita peribadi atau kelompok tertentu.

6. Campur tangan pihak luar dengan pengaruh dominan politik, ideologi, perisikan, inteligent dengan berbagai cara penyamaran untuk menyerang musuh dalam harakah dengan tujuan menghancurkan kekuatan dan kesatuan di dalam tanzim. Ruang yang terbuka untuk campur tangan atau penyusupan amat luas, terutama melalui ruang politik, iaitu dengan menawarkan pelbagai maslahah siasah.

Kekuatan luaran dan campur tangan ke dalam tanzim harakah berlaku ketika jamaah mengalami kelemahan, miskinnya roh `aqidah di kalangan jundiyah dan qiyadah, kuatnya kecenderungan mengejar maddiyyah dan jawatan.

7. Lemah atau hilangnya kesedaran politik (wa’yu siyasi) dalam harakah. Sesebuah harakah yang tidak memiliki wa’yu siyasi yang tinggi dan baik, tidak akan dapat mengimbangai peredaran zaman, gagal mengambil istifadah dan pengajaran dari pengalaman lepas, tidak mengkaji peranan harakah di masa depan dan tidak mampu membuat suatu keputusan politik setempat berdasarkan situasi dan kondisi politik internasional.

Apabila harakah mengalami kelemahan seperti ini, akan berlaku sikap yang kontradiktif dan mudah terbawa arus. Keadaan ini memudah unsur-unsur negatif dari luar mengawal keputusan politik dalam harakah dan mengenepikan peranan majlis syura dalam jamaah.

Semua faktor kondisi yang dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan adalah berkesimpulan dari masalah mendasar harakah Islamiah masa kini, iaitu “politik mendominasi tarbiah”. Keadaan ini menyebabkan suasana atau munakh harakah dikuasai oleh politik, bahkan sangat mempengaruhi pendirian dan sikap para anggota dan pimpinan harakah.

Kewajipan Memelihara Asholatud Dakwah (Keaslian Dakwah).

Permasalahan dan penyakit yang berlaku di dalam harakah dakwah, hanya dapat dikawal dan diubati dengan memelihara keaslian dakwah yang kita warisi dari Baginda Rasulullah SAW.

Syeikh Mustafa Masyhur Rahimahullah, dalam sebuah tulisannya, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah, menekankan betapa pentingnya Muhafazhah `Ala al-Asholah (memelihara keaslian dakwah), agar harakah terjamin berada di jalan yang benar menuju sasaran.

Sekecil-kecil penyelewengan dari asholah dakwah, pasti akan melahirkan kegelinciran yang semakin hari semakin besar, serta menyeret harakah jauh dari jalan yang benar dan gagal mencapai sasaran harakah. Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna selalu menekankan agar jamaah beriltizam dengan Islam, Al-Quran dan As-Sunnah serta melangkah ke medan dakwah berpandukan Sirah Rasulullah SAW ketika beliau menegakkan Daulah Islamiah pertama. (Mustafa Masyhur, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah).

Memelihara Asholah Dakwah bererti meletakkan kepentingan kepada tarbiyah. Kerana itu, tarbiyah dalam jemaah tidak boleh dikesampingkan atau diabaikan demi memenuhi tuntutan kegiatan politik, publisiti bahkan jihad sekalipun. Perencanaan takhtit dan tanzim semata-mata tidak mencukupi tanpa tarbiyah untuk membina izzah harakah di mata musuh Islam.

Usrah merupakan tulang belakang tarbiyah dalam jamaah, yang berperanan sebagai wasilah yang mendidik ahli dan membentuk rijal. Semua anggota di manapun peringkat jamaah, samada ahli hinggalah pimpinan tertinggi wajib mengikuti peringkat-peringkat tarbiyah sehingga sampai ajalnya.

Kesimpulan

Ternyata, kewajipan itu lebih banyak dari batas waktu yang kita miliki. Kerana itu, dakwah kita tidak dibina atas dasar rukhshah (keringanan), tetapi dibangun atas dasar `azhimah dan tekad yang teguh. Jika hal ini diperhatikan dengan sewajarnya, dari peringkat ahli sehinggalah pimpinan jamaah, segala permasalahan yang sering melanda harakah dan dakwah, nescaya virus bahaya yang menular dalam tanzim binaan jamaah dapat diatasi.

Semoga kita mengambil pelajaran dan manfaat dari taushiyah yang disampaikan sejak enam belas tahun silam oleh seorang da`ie yang menjadi qudwah kepada kita, demi kebaikan dan kejayaan harakah dakwah di Negara kita.

Wednesday, April 22, 2009

Empat penghalang Iman dan Jihad



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَتَّخِذُواْ آبَاءكُمْ وَإِخْوَانَكُمْ أَوْلِيَاء إَنِ اسْتَحَبُّواْ الْكُفْرَ عَلَى الإِيمَانِ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (٢٣)قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ (٢٤)
(سورة التوبة)
Terjemahan:

(23) Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu pemimpin-pemimpinmu, jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka pemimpin-pemimpinmu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

(24) Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih baik kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan (dari) jihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.

(At-Taubah) 23-24)

Sebab Turun Ayat:

Al-Kaliby berkata: Ketika Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) menyuruh para sahabat agar berhijrah ke Madinah, maka mereka pun menyampaikan berita tersebut kepada bapa-bapa, anak-anak dan isteri-isteri mereka. Sebahagian mereka menerima seruan tersebut dengan segera dan perasaan gembira, dan ada pula yang merasa keberatan meninggalkan keluarga tersayang, dan akhirnya mereka enggan berhijrah. Lalu Allah SWT menegor sikap mereka dengan menurunkan ayat ini.

Tafsir Ayat:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu pemimpin-pemimpinmu, jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas kekafiran atas keimanan

Maksudnya: Hai orang-orang telah benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya, janganlah kamu menjadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu sebagai pemimpin kamu sehingga kamu sanggup menolong mereka memusuhi dan memerangi orang-orang beriman, dan sanggup mengintip rahasia orang-orang beriman, strategik dan taktik perang mereka untuk disampaikan kepada bapa-bapa dan saudara-maramu yang kafir itu.

Dalam ayat di atas Allah SWT khususkan menyebut bapa-bapa dan saudara-saudara karena tidak ada kerabat yang lebih dekat daripada mereka. Namun demikian Allah SWT melarang menjadikan mereka pemimpin (orang-orang yang wajib dipatuhi) sekiranya mereka lebih mengutamakan kekafiran daripada iman. Ini sebagaimana larangan Allah dalam ayat yang lain:

“Hai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (mu);

(Al-Maidah :51)

Ayat ini pula menjelaskan bahwa kerabat yang sebenarnya adalah kerabat atas dasar agama, bukanlah kerabat atas dasar nasab (keturunan).

Namun demikian Ihsan dan Hibah (memberi sesuatu) kepada ibubapa dan saudara-mara yang masih kafir dikecualikan daripada “kepimpinan” di atas. Ini berdasarkan riwayat Asmaa, katanya:

“Ya Rasulallah, ibuku datang menemuiku karena sangat rindu kepadaku, sedangkan beliau seorang musyrikah (penyembah berhala), apakah saya layani dan hubungi dia. Rasul (sallallahu alaihi wasalam) menjawab: Hubungilah ibumu itu”.

[HR Bukhari]

dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka pemimpin-pemimpinmu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim

Maksudnya: Barangsiapa yang menjadikan mereka sebagai pemimpinnya sedangkan mereka dalam keadaan demikian (kafir), maka orang tersebut termasuk orang-orang yang menzalimi dirinya sendiri dan menzalimi golongannya karena tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Mereka meletakkan wilayah (kepimpinan) pada tempat yang sepatutnya (berlepas diri dari mereka), meletakkan mawaddah (kasih sayang) pada tempat yang sepatutnya ‘adaawah (permusuhan).

Dalam ayat berikut Allah SWT menjelaskan lapan perkara yang sangat besar pengaruhnya dalam kehidupan manusia sehingga banyak di antara mereka yang karena terlalu terpengaruh dengannya telah sanggup menggadai iman mereka kepada Allah dan Rasul serta Jihad pada jalan Allah.

Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih baik kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan (dari) jihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya”

Maksudnya: Sekiranya kamu lebih mencintai lapan perkara itu iaitu lebih mengutamakan ibubapa, anak-anak, adik-beradik, isteri-isteri, kaum kerabat, harta kekayaan, perniagaandan tempat tinggal yang kamu sukai, daripada mencintai atau mentaati Allah dan RasulNya serta Jihad di jalanNya yang boleh membawa kamu kepada kebahagiaan yang abadi di akhirat, maka tunggu sajalah hukuman daripada Allah, apakah dalam bentuk azab yang segera di dunia ini ataupun azab yang ditangguhkan di akhirat nanti.

Mungkin lapan perkara di atas dapat kita ringkaskan dalam empat bentuk pengaruh:

1. Pengaruh Kekeluargaan (Ibubapa, Anak, Saudara, Isteri)
2. Pengaruh Harta Kekayaan yang diusahakan
3. Pengaruh Perniagaan yang dikhawatiri akan rugi
4. Pengaruh Tempat Tinggal yang selesa.


1. Pengaruh Kekeluargaan

Sudah menjadi fitrah atau sifat semulajadi setiap manusia mencintai keluarganya. Anak mencintai ibubapanya, ibu bapa cinta kepada anak-anaknya, suami isteri saling mencintai. Begitu juga adik-beradik dan kaum kerabat.


2. Pengaruh Harta Kekayaan yang diusahakan

Setiap manusia mesti sayang kepada hartanya, terutama jika harta miliknya itu hasil jerih payah yang diusahakannya selama ini. Jadi adalah wajar kalau ia sangat menyayanginya.


3. Pengaruh Perniagaan yang dikhawatiri akan rugi

Kebiasaannya harta kekayazn yang terkumpul adalah hasil daripada perniagaan karena ia merupakan salah satu sumber utama untuk mendapat kekayaan. Justeru itu kecenderungan manusia kepada dunia perniagaan dan selalu bimbang kalau-kalau perniagaannya ditimpa kerugian adalah suatu sifat yang wajar.


4. Pengaruh Tempat Tinggal yang selesa.

Memiliki tempat tinggal yang baik lagi selesa adalah menjadi idaman setiap insan. Nabi (sallallahu alaihi wasalam) pernah bersabda bahwa di antara kebahagiaan anak cucu Adam ialah isteri yang salihah dan tempat tinggal yang selesa dan kenderaan yang baik. (Hadis Sahih Riwayat Imam Ahmad – Lihat Artikel “Ihsan Dan Kebahagiaan (Al-Hadis)”.

Walaupun Islam mengakui bahwa mencintai lapan perkara di atas sudah menjadi fitrah dan sifat semulajadi setiap insan namun demikian Allah SWT menghendaki agar manusia hendaklah melebihkan cinta mereka kepadaNya dan RasulNya serta Jihad di jalanNya. Maksudnya: Mereka mestilah sanggup berjuang demi memenuhi kehendak Allah dan RasulNya walaupun kadang-kadang mereka terpaksa mengorbankan lapan perkara di atas.


maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik

Maksudnya: allah SWT memberi amaran keras kepada orang yang lebih mencintai lapan perkara di atas daripada mencintaiNya dan mencintai RasulNya serta Jihad pada jalanNya bahwa azab Allah akan ditimpakan ke atas mereka. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang melampaui batasan balasanNya iaitu jika mereka mengabaikan hukum-hakamNya.

Cara Memperkuat Iman Dan Jihad:

Di antara langkah yang perlu diambil supaya kecintaan kita terhadap lapan perkara di atas jangan sampai mengatasi kecintaan kita kepada Allah dan RasulNya dan Jihad di jalanNya ialah kita mestilah memperbanyak zikir, fikir, tadabbur (menghayati) ayat-ayat Al-Quran dan iltizaam berpegang teguh dengan hukum-hakam agama. Insya Allah, jika langkah-langkah ini dilalui niscaya kita akan mendapat pertolongan Allah SWT.

Tuesday, March 24, 2009

Kewajipan Mencintai Rasulullah SAW


Alhamdulillah. Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad. Amma ba’d.
Minggu lepas, di mana-mana pun masyarakat Muslim di seluruh dunia menyambut MaulidurRasul. MaulidurRasul disambut bagi memperingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam.

Walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama’ berkenaan tarikh sebenar kelahiran insan mulia Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, namun rata-rata masyarakat kita telah menerima bahawa 12 Rabi’ul awwal merupakan tarikh maulidnya Baginda.

Di dalam kitab ar-Rahiq al-Makhtum karangan Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa tarikh kelahiran Nabi Muhammad sallAllahu ’alaihi wasallam adalah pada hari Isnin 9 Rabi’ulawwal tahun pertama peristiwa gajah. Ia juga bersamaan 20 atau 22 April 571 (M).

Sebahagian ulama’ ada yang mengatakan menyambut maulid ar-Rasul harus, ada juga yang mengatakan ia bid’ah. Namun, saya lebih cenderung untuk mengambil kesempatan untuk melahirkan rasa cita kepada Rasul . Walau Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak pernah menyuruh kita menyambutnya, dan malah para sahabat Baginda radhiAllahu ‘anhum ajmain juga tidak meraikannya namun, jika masyarakat di sini meraikannya dengan mengadakan ceramah dan kuliah maulidurRasul, saya juga turut berceramah atau hadir untuk mendapat peluang refresh sejarah kehidupan Rasulullah sallAllahu ‘ yang disambut. Apa yang lebih utama dari menyambut hari kelahiran Baginda s.a.w sebenarnya ialah untuk kita menerapkan rasa cinta dan ikut sunnah Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam.
Bahkan, syarak telah menetapkan bahawa mencintai Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah sebahagian kewajipan seorang muslim.


Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintaiku lebih daripada ibubapa, anaknya dan seluruh ummat manusia.” - Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam telah dipilih ALLAH subhanahu wata’ala sebagai Pesuruh dan KekasihNYA. Kita sebagai muslim wajib mencintai insan yang paling dicintai dan diredhai ALLAH. Inilah peringkat cinta yang tertinggi di kalangan makhluq.

Betapa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah berkorban dan menghadapi pelbagai dugaan dalam berjuang untuk menyampaikan nikmat ISLAM dan IMAN yang kita perolehi saat ini.

Baginda pernah dipukul, disakiti, dicela, dimaki dan dipulaukan oleh orang yang paling hampir dengannya. Namun, Baginda tetap tidak berganjak dari misi menyampaikan wahyu kepada kita semua.

Sanggupkah kita melalui perkara yang sama seperti Rasulullah?! Banyak benar telah Baginda s.a.w lakukan untuk kami. Oh, Rasulullah…kami cinta padamu!!

Ungkapan cinta tidak memadai untuk kita menunjukkan rasa cinta kepada Baginda. Malah cinta sahaja tidak mencukupi. Kita mesti menerapkan al-hub wal-ittiba’ iaitu cinta dan ikut. Sebagai seorang muslim sejati, mencintai Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam perlu disertai dengan ikut sunnah yang Baginda s.a.w tinggalkan.

Jika sekadar cinta tetapi tidak ikut, samalah kita macam Abu Talib yang mencintai Nabi s.a.w sehingga kematian beliau. Tetapi sayang sekali, seruan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak mahu diterimanya. Sikap seperti ini ramai dimiliki oleh ahli masyarakat. Mereka mempunyai rasa cinta kepada Nabi s.a.w. Mereka marah dan berang apabila ada pihak mengutuk, mengejek, mengkeji, mengkartunkan dan memperlekehkan Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Sedihnya, dalam masa yang sama mereka tidak pula menurut perintah2 ALLAH melalui seruan Baginda s.a.w.

Jika sekadar ikut dan tidak cinta pula, samalah kita dengan para munafiqun yang berlegar-legar di sekeliling Nabi s.a.w. Mereka ikut Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam, malah melakukan beberapa sunnah, tetapi di dalam hati mereka tidak mencintai pun Nabi s.a.w, malah mempunyai niat buruk kepada Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam.

Bagaimana cara kita meluahkan rasa cinta kita kepada Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam?

1. Kenali Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam

Kisah-kisah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam yang kita pelajari sejak di bangku sekolah sepatutnya telah menjadikan kita mengenali peribadi Baginda s.a.w. Daripada kisah2 tersebut, banyak yang telah kita ketahui betapa pengorbanan dan perjuangan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam untuk menyampaikan seruan ALLAH subhanahu wata’ala sangat berar kepada kita.

Dengan mengenali kisah Nabi s.a.w, pasti akan terbit rasa cinta. Orang kata, “Tak kenal, maka tak cinta”. Jadi, untuk menerbitkan rasa cinta, kita perlu menyelidiki sifat dan sejarah Baginda s.a.w. Kenalilah Nabi s.a.w. InsyaALLAH, melalui buku-buku, ceramah, kuliah dan lain2 sumber banyak boleh didapati. Dalam ceramah-ceramah maulidurRasul juga dapat kita ambil manfaat untuk refresh apa yang kita lupa dan mengambil ilmu dari para penceramah yang ‘alim, insyaALLAH.

2. Bersolawat

Ummat ISLAM disuruh untuk bersolawat kepada Baginda.

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” - al-Ahzab: 56.
Barangsiapa yang berselawat keatasku sekali, nescaya Allah akan berselawat keatasnya 10 kali ganda - (HR Muslim)

Sentiasalah bersolawat. Tatkala lapang atau sibuk, getarkanlah lidah kalian dengan bersolawat. Solawat iaitu do’a kesejahteraan kepada Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah cara yang paling sesuai untuk kita menerapkan dan menyuburkan rasa cinta kepada Nabi s.a.w.

Solawat Ibrahimiyyah iaitu seperti solawat yang dibaca tatkala tasyahud dalam solat sangat disarankan membacanya kerana ia telah diajarkan oleh Rasulullah untuk kita amalkannya.



3. Menghidupkan sunnah.

Hendaklah kita cuba sedaya upaya untuk mengamalkan segala sunnah Baginda samada dari segi perkataan mahupun amalan.

Pada susuk tubuh dan akhlaq Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam terdapat banyak tauladan dan kebaikan yang boleh kita ambil. Firman ALLAH yang maksudnya:

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” Surah al-Ahzab: 21.

Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya aku telah tinggalkan di antara kalian sesuatu yang jika kalian berpegang teguh dengannya, maka kalian tidak akan tersesat selamanya; iaitu kitabullah dan sunnah NabiNYA.” (Disahihkan oleh Al-Hakim)

“Barangsiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan termasuk golonganku” (HR Muttafaqun ‘alaih)

“Aku berwasiat kepadamu agar bertakwa kepada Allah ‘Azza wajalla, agar mendengar, taat dan patuh meskipun pemimpinmu seorang budak. Barangsiapa hidup panjang umur dari kamu maka dia akan melihat banyak silang-sengketa. Berpeganglah kepada sunnahku dan sunnah-sunnah khulafaur rasyidin yang mendapat petunjuk dan hidayah (sesudahku). Gigitlah kuat-kuat dengan gigi gerahammu. Waspadalah terhadap ciptaan persoalan-persoalan baru. Sesungguhnya tiap bid’ah mengandung kesesatan.” (HR. Tirmidzi)

Segala pesanan dan perintah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam wajib untuk kita ta’at dan amalkan. Perintah, pesanan dan nasihat Baginda s.a.w boleh kita ikuti melalui pembacaan buku2 hadith yang banyak di pasaran. Cara Baginda s.a.w bercakap, berjalan, makan, minum, bergurau, gelak, berpakaian, berniaga, berjiran, bermasyarakat, berumahtangga, bernegara dan sebagainya wajar diambil untuk diamalkan di dalam kehidupan kita.

Nescaya, hidup kita akan sejahtera, berkat dan lebih bermakna sekiranya sunnah-sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam diamalkan dalam kehidupan seharian.

Mudah2an MaulidurRasul yang baru-baru ini ramai di kalangan kita raikan dapat membuka minda dan mencetus keazaman untuk mencintai dan mengikuti sunnah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan ummat Baginda s.a.w yang beruntung dan diberi syafaat di akhirat kelak, amin.

Islam benarkan vaksin daripada lemak babi ???

Penggunaan suntikan pelalian quadrivalent meningokokal (ACYW 135) diperbuat daripada lemak babi dibenarkan dalam Islam kerana ia sudah melalui proses transformasi yang menjadikannya bahan lain, kata Persatuan Perubatan Islam Malaysia.

Presidennya, Dr Musa Mohd Nordin, berkata menerusi kaedah itu, gelatin diperbuat daripada tulang, kulit dan tendon haiwan yang tidak suci dibenarkan, begitu juga sabun daripada lemak babi dan haiwan mati.
Transformasi mengikut Seminar Perubatan-Fiqh Kelapan pada 1995 bermaksud sesuatu proses yang membolehkan sesuatu objek itu diubah kepada bentuk lain termasuk dari segi sifat dan kandungan, menyucikan bahan terbabit melalui proses tertentu, sekali gus menukarkan sesuatu yang tidak dibenarkan oleh syariah kepada yang dibenarkan.

“Walaupun sesetengah vaksin ACYW 135 pada asalnya diperbuat daripada lemak babi, selepas melalui pelbagai proses, ia lahir sebagai bahan baru dan jelas penggunaannya dibenarkan dalam Islam.

“Vaksin ini diwajibkan ke atas jemaah haji dari seluruh dunia yang mengerjakan haji. Keputusan mengenai kebenaran menggunakan vaksin berasaskan lemak babi ini dibuat oleh kumpulan ulama fiqah terkenal dari seluruh dunia termasuk Yusuf Qardawi dalam Seminar Perubatan – Fiqh Kelapan pada 1995 di Kuwait,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Bertemu Pakar di Persidangan Kedua Pusat Perubatan Universiti Malaya: Perubatan Daripada Perspektif Islam, di sini semalam. Persidangan tiga hari bermula kelmarin disertai 450 pengamal perubatan itu, anjuran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Berhubung kebenaran berdoa untuk bukan Islam bagi menyembuhkan penyakit, pensyarah Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Fauzi Deraman berkata Islam tidak pernah melarang umatnya menggunakan ayat al-Quran untuk merawat penyakit tidak kira pesakit itu orang Islam atau tidak.

“Tidak timbul masalah sama ada Islam atau bukan, kerana dalam satu sudut orang yang bukan Islam itu juga adalah jiran. Dan menjadi tanggungjawab kita untuk melakukan kebaikan kepada jiran kita,” katanya.

Dr Omar pula berkata secara umum, umat Islam boleh mendoakan orang bukan Islam supaya mereka mendapat hidayah dan mengurangkan perbuatan jahat terhadap orang Islam.

“Setahu saya, tiada nas al-Quran atau hadis yang menyentuh mengenai doa orang Islam untuk orang bukan Islam bagi menyembuhkan penyakit. Bagaimanapun, al-Quran mempunyai kesan besar dalam penyembuhan penyakit.

“Di Amerika Syarikat sendiri, ada klinik yang dibuka oleh pengamal perubatan Islam dan ada juga pesakit mereka bukan beragama Islam,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Omar Hasan berkata, hukum syariah adalah anjal.

“Jika berlaku keadaan darurat, maka sesuatu yang haram itu boleh menjadi halal. Ini termasuk kegunaan vaksin daripada lemak babi, yang jelas perlu bagi mengelak serangan penyakit meningitis,” katanya.

Mengenai keraguan pakar bius untuk menghentikan penggunaan mesin hayat bagi pesakit mati otak, Dr Musa berkata mengikut amalan Islam, tiga pakar diperlukan bagi mengesahkan bahawa mesin itu tidak diperlukan selepas penilaian yang mendalam.

“Pelbagai ujian perlu dijalankan terlebih dulu termasuk elektro encephalograf (EEG), bagi memastikan mesin penggunaan hayat boleh dihentikan. Lazimnya, kebenaran waris juga diambil kira,” katanya.

Monday, March 9, 2009

Apa pandangan anda...wahai insan



Ini yang sepatutnya dilakukan terhadap seorang Sasterawan Negara..Sabarlah wahai pejuang bahasa.

Friday, March 6, 2009

Polis benar himpunan anti-PPSMI



Polis membenarkan perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu ini.

Bagaimanapun perhimpunan hanya dibenarkan diadakan di Masjid Negara jam 2 petang, sementara dua lokasi lagi yang dirancang - Pasar Seni dan kompleks membeli-belah Sogo - tidak jelas.

Setiausaha Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Hasni Abas memberitahu Malaysiakini sebentar tadi, polis bagaimanapun melarang perarakan ke Istana Negara seperti dirancang.

"Kami dimaklumkan boleh berhimpun di Masjid Negara tetapi perarakan (ke Istana Negara) tidak boleh," katanya.

Beliau dimaklumkan, tambahnya, perarakan itu tidak dibenarkan setelah polis mempertimbangkan faktor keselamatan.

Bagi menyerahkan memorandum gabungan itu kepada istana, polis menawarkan khidmat menghantar pemimpin GMP ke lokasi itu menggunakan kenderaan pasukan keselamatan itu, kata Hasni.

Kebenaran itu dimaklumkan oleh polis sewaktu pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad, timbalannya Dr Shahrir Mohd Zain dan beliau sendiri ke ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur pagi tadi.

Keputusan terbaru ini membayangkan polis mengambil sikap bertolak ansur selepas amaran diberikan kepada orang ramai semalam agar tidak menyertai perhimpunan itu.

Ditanya tindakan lanjut GMP setelah mendapat kebenaran polis itu, Hasni berkata, gabungan itu akan bermesyuarat petang esok di ibu pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) bagi memutuskan perkara itu.

Semalam, Istana Negara dilaporkan bersedia menerima memorandum membantah pelaksanaan dasar kontroversi itu yang dianggap "kemenangan pertama" aktivis bahasa dan sastera.

Satu salinan memorandum pemansuhan PPSMI telah disampaikan kepada istana melalui setiausaha sulit kanan Yang di-Pertuan Agong kelmarin, kata Dr Hassan.

Sementara itu Bernama pula melaporkan, polis tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang ingin meneruskan perhimpunan di hadapan
Istana Negara, kata ketua polis Kuala Lumpur.

Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, polis bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan menempatkan anggota di beberapa kawasan sekitar istana.

"Kita tengok pada situasi yang akan berlaku pada hari itu dan mengambil tindakan jika keadaan di luar kawalan," beliau dipetik berkata.

Ulasan Abu Ammar : Hidup Bahasa Melayu..nyahkan pemikiran kolot yang diwarisi penjajah.

CALENDER