Tuesday, August 31, 2010

HUKUM NON MUSLIM MASUK MASJID


Firman Allah: (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah, ayat 8).

Saya rasa perkara ini dah jelas. Lama dah pelancong2 datang ke Malaysia dan masuk dalam masjid. Tidak ada pun bantahan dan menjadi isu. Tapi bila dilakukan oleh 'orang yang tidak sebulu' jadi isu. Peninglah melihat sesetengah orang melayu yang jahil tukil ni..

Di sini, saya datangkan dalil dan pendapat ulamak tentang masalah non muslim masuk masjid. Pendapat As-Syafi’iyaah mengatakan bahawa :

“Sesungguhnya diharuskan bagi kuffar (non-muslim) masuk masjid dengan kebenaran orang Islam kecuali Masjid al-Haram dan setiap masjid di Tanah Haram.”

Pendapat dari Syeikh `Atiyyah Saqr, & Syeikh Muhammad Saleh Al-Munajjid mengatakan bahawa :

“Adalah ditegaskan yang Islam menggalakkan toleransi dan kewujudan bersama secara aman antara Muslims dan non-Muslim. Jika non-Muslim masuk ke masjid utk menyampaikan ucapan yang boleh membawa kpd persefahaman lebih baik, maka ia amat di alu-alukan dan digalakkan mengikut pandangan agama. Islam ialah agama yg mengamalkan dialog yang bermanfaat dalam maksud sebenar. Sejarah Muslim ialah satu contoh yg baik berkenaan hal ini.”

Dari pandangan di atas, mengatakan bahawa orang non muslim hanya tidak boleh menjejak kaki atau masuk ke dalam Masjid Al-Haram dan masjid-masjid lain yang terdapat di tanah haram Mekah dan Madinah. Selain dari masjid-masjid tanah haram dibolehkan masuk dengan keizinan orang Islam. Ini bertujuan untuk mendekatkan non muslim terhadap keindahan Islam dan membenarkan mereka melihat segala aktiviti ibadah yang terdapat dalam masjid tersebut. Ini bertepatan dengan Pandangan Fatawa Al-Lajnah Al-Da’imah – Jawatan kuasa Tetap Utk Kajian Islam dan Ifta’ mengatakan bahawa :

“Dibenarkan jika ia menepati matlamat Syariah atau menepati sebab penting, seperti jika non-Muslim perlu masuk ke masjid untuk mendengar sesuatu yang mungkin menggalakkan nya utk memeluk Islam, atau dia perlu minum air, atau seumpamanya. Ini adalah cara Rasulullah saw dengan mengikat tawanan Baginda Thamaamah ibn Athal Al-Hanafi dalam masjid sebelum dia menjadi Muslim, dan rombongan dari Thaqif dan Kristian dari Najran tinggal di masjid sebelum mereka memeluk Islam. Sebenarnya, banyak manfaat diperolehi dari hal ini. Mereka boleh mendengar ucapan dan khutbah Rasulullah saw untuk melihat orang solat dan membaca Al-Qur’an, dan sebagainya."

Bagi mazhab lain pula ada tiga pandangan:

Pertamanya: Mazhab Hanafi yang membenarkan bukan Islam memasuki semua masjid.

Keduanya: Mazhab Hanbali yang membenarkan untuk memasuki masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah.

Akhirnya, Mazhab Maliki yang tidak membenarkan memasuki semua masjid melainkan kerana darurat kerja.

Namun kita harus ingat Rasulullah SAW benarkan bukan Islam masuk masjid.Baginda pernah membenarkan ramai orang-orang bukan Islam masuk dan tinggal lama di masjid. Rasulullah SAW juga diriwayatkan pernah menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah diizinkan oleh Nabi SAW untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid dan nabi menyebut kepada sahabat: "Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)."

Kepelbagaian pandangan ini menggambarkan keluasan hukum Islam dalam persoalan yang digembar-gemburkan sebagai isu besar ini. Hakikatnya, majoriti ulama silam dan kontemporari jelas mengharuskan bukan Islam memasuki masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti keperluan mendapat keizinan umat Islam atau badan berkuasa Islam, mempunyai sebab yang munasabah dan menjaga adab-adab yang telah ditetapkan.

Oleh yang demikian, sepatutnya kita berpendirian bahawa adalah tidak wajar bagi siapa jua untuk menyempitkan sesuatu yang tidak jelas dari sudut nas-nasnya dan dalil-dalilnya. Apatah lagi jika kita sememangnya berpegang dengan mazhab al-Syafie sebagai mazhab rasmi umat Islam di Negara ini. Lebih jauh lagi, sikap menghalang bukan Islam memasuki masjid ini adalah bertentangan dengan semangat yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat-syarat yang telah ditentukan.

Amalan menerima bukan Islam memasuki masjid atas tujuan yang murni juga telah diamalkan di beberapa negara lain. Ia terbukti memberi nilai positif kepada keberkesanan pemahaman mereka kepada agama Islam, mengelakkan salah faham dan menjana interaksi yang harmoni dalam perhubungan di antara umat Islam dan bukan Islam.

Sebagai tanda menghormati rumah Allah, maka orang non muslim mestilah menutup auratnya seperti orang muslim, kerana ini tanda penghormatan mereka kepada umat Islam. Hal ini juga telah dipraktikkan di masjid Putrajaya, Masjid Negara dan lain-lain yang membenarkan pelancong non muslim masuk masjid dengan memakai jubah dan tudung khas yang disediakan kepada mereka yang ingin memasuki masjid tersebut. Di sini juga secara tidak langsung proses dakwah itu berlaku kepada mereka dengan memperlihatkan mereka tentang keindahan seni bina Islam, melihat info-info Islam dalam masjid dan melihat segala aktivi-aktivi yang terdapat dalam masjid. Betapa untungnya kalau orang non muslim tertarik kepada Islam dengan kesan melihat keindahan masjid sahaja.

No comments:

CALENDER