Sunday, July 5, 2009
Pengunduran Tentera US di Iraq
Dunia Islam menyambut gembira berita pengunduran tentera Amerika Syarikat di bumi Iraq pada 30 Jun 2009 , walaupun ia masih di peringkat permulaan.
Pengunduran tentera AS seperti yang dipersetujui dalam perjanjian keselamatan AS-Iraq, menandakan satu langkah pertama ke arah pengunduran semua tentera negara tersebut dari Iraq menjelang 31 Disember 2011.
Kita bersama pejuang Islam lainnya juga turut berasa gembira serta mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada pejuang pembebasan serta mujahidin di Iraq.
Pengambilan alih kuasa oleh tentera Iraq membanggakan rakyat negara ini, namun masyarakat masih khuatir sekiranya tentera kerajaan tidak bersedia, di samping kebimbangan keganasan akan meningkat.
Menurut sumber AP, Masyarakat Syiah bimbang lebih banyak insiden pengeboman oleh pejuang Sunah akan dilancarkan, sementara Sunah khuatir tentera keselamatan Iraq yang didominasi Syiah tidak akan memberi perlindungan sepenuhnya kepada mereka. Hal ini sedikit sebanyak menggambarkan betapa kehadiran Amerika di bumi anbiya’ ini telah berjaya mengindoktrinisasi masyarakat bahawa hanya Amerika mampu menghapus pengganas dengan menidakkan faktor sebenar gejala dan fenomena keganasan berlaku sebenarnya.
Umat Islam harus bersyukur dengan kemenangan pertama ini disamping berusaha mengekalkan kemerdekaan serta mengisi kemenangan agar selaras dengan erti kemenangan konsep istiqlal dan hurriyyah menurut aspirasi Islam yang sebenarnya.
Kita sedar pengunduran Amerika adalah berpunca dari pelbagai faktor dan diantaranya adalah berdasarkan faktor material. Kejatuhan ekonomi Amerika yang terlalu buruk sepenggal yang lalu hingga kini menunjukkan bahawa Amerika Syarikat tidak sanggup lagi menanggung hutang dan bebanan peperangan walaupun industri persenjataan adalah pemberi keuntungan major dalam negara mereka.
Faktor desakan rakyat juga semakin menjadi-jadi malah wabak selsema babi yang menular di Mexico, Amerika Syarikat serta Amerika Utara menghilangkan sebahagian ‘mood’ Amerika untuk meneruskan invensi dan pengaliran duit keluar. Senario ini sama seperti keadaan Belanda dan British yang akur memberi kemerdekaan kepada Asia Tenggara akibat hutang maksimum selepas Perang Dunia Kedua.
Obama yang kelihatannya berminat dalam hubungan diplomasi positif dengan dunia Islam termasuk Malaysia kini, harus mengotakan janji awalnya untuk mengurangkan jurang pemikiran dan ketegangan diplomasi dunia selepas kempen anti Islam oleh regim Bush.
Dalam setiap pengunduran tentera Amerika Syarikat atau regim komunis lain, mereka pastinya meninggalkan untuk mewarisi regim yang menurut acuan pemikiran mereka. Di sinilah kepentingan mujahidin untuk terus sabar dalam membina semula negara menurut dimensi dan metodologi yang lain serta kena dengan persekitaran (waqi’) yang baru
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Assalamu'alaikum,
Ziarah untuk berkenalan,
Sila ke blog saya di almankaraqi.blogspot.com
Post a Comment